Teknik Simpan Duit-Untuk Yang Liat

"Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit"

   Kita semua tahu kepentingan menyimpan duit. Menyimpan sebahagian pendapatan adalah langkah penting dalam pengurusan kewangan peribadi.  
   Ianya memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Hakikatnya, bukan semua orang boleh melakukannya secara konsisten. Ya lah,bukan mudah membentuk tabiat menyimpan.
   Bagi yang "liat" untuk menyimpan, usah gusar. Terdapat beberapa teknik menyimpan duit untuk membantu golongan yang sering gagal untuk menyimpan.

1) Teknik Tanpa Sedar
   Teknik ini melibatkan arahan pemotongan automatik (auto deduction) daripada bank secara berkala. Tanpa kita sedar, sebahagian duit kita akan ditolak sebagai simpanan.
   Apabila menerima pendapatan di akaun simpanan, kita boleh memindahkan sebahagian duit secara pemotongan automatik ke akaun pilihan lain. Antaranya ialah akaun Tabung Haji dan ASB.
   Akaun lain yang juga penting ialah akaun takaful anda. Di dalam akaun takaful terdapat nilai tunai (cash value). Tanpa sedar, simpanan anda terkumpul di samping mendapat manfaat perlindungan dan perubatan - bijak bukan?
   Teknik Tanpa Sedar ini sangat baik dan selamat kerana simpanan akan dilakukan secara konsisten tanpa perlu kita berbuat apa-apa (effortless). Ia juga membentuk tabiat menabung yang berdisiplin dan sistematik. Ianya sesuai untuk tabungan jangka masa sederhana dan panjang.

2) Teknik Duit Ganjil
   Teknik ini lebih kepada mewujudkan keseronokan semasa peringkat awal menyimpan. Oleh kerana jumlah simpanan tidak tetap, ianya sesuai untuk simpanan jangka masa pendek dan sederhana.
   Semasa kecil, saya mempunyai tabiat suka menyimpan duit syiling 50sen kerana saiz dan bentuknya yang ganjil berbanding syiling lain. Pada masa itu saya juga menyimpan syiling RM 1 kerana warna kuning keemasannya.
   Kemudian, kita boleh meningkatkan jumlah simpanan. Contohnya menyimpan not RM 5 dan RM 20. Tetapkan menyimpan dalam tempoh tertentu seperti 3 bulan hingga setahun - anda akan berasa kagum dan seronok kelak.
   Wang terkumpul boleh dibelanjakan untuk barang idaman atau percutian. Lebih seronok jika duit ganjil ini dikumpul bersama pasangan dan anak-anak. Di samping melatih tabiat menyimpan, ianya juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dengan adanya aktiviti bersama.

3) Teknik Paksa-Rela
   Teknik ini memerlukan pihak lain sebagai sistem sokongan. Seseorang yang mempunyai ciri ketegasan diperlukan untuk "memaksa" anda menyimpan.
   Caranya ialah dengan melantik seseorang yang dipercayai untuk mengutip duit daripada anda dan menyimpannya. Dia juga bertindak memastikan anda tidak 'mengusik' duit simpanan terkumpul sehinggalah matlamat simpanan tercapai.
   Teknik ini sesuai dilakukan dengan pasangan suami isteri atau rakan karib yang dipercayai.

4) Teknik Main Kutu
   Ini adalah teknik yang menjadi kebiasaan diamalkan sejak dulu. Malah ianya masih menjadi amalan kini.
   Main kutu melibatkan sekumpulan peserta yang bersetuju memberi pinjam mengikut jumlah dan giliran yang dipersetujui bersama. Seorang ketua kumpulan akan mengumpul duit dari setiap peserta dan menyerahkan kepada penerima mengikut giliran masing-masing.
   Walaubagaimanapun, perlu diingat main kutu adalah dilarang undang-undang kerana melibatkan kutipan deposit daripada individu secara tidak sah. Namun teknik ini tetap menjadi pilihan kebanyakan orang. Mungkin faktor seronok mendapat mendapat sejumlah wang pada masa yang dipilih-jadi dapat dibelanjakan untuk apa jua tujuan.
   Dari segi syara', secara amnya hukum bermain kutu adalah harus-sebagaimana difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam mazhab Syafie, perlu ada akad antara peserta yang terlibat.

Kesimpulan
   Teknik-teknik menyimpan duit yang telah dinyatakan adalah cadangan sahaja untuk membentuk disiplin menyimpan. Setiap teknik ada kelebihan dan kekurangannya.
   Tak kisahlah teknik mana pun yang digunakan, - yang penting adalah memulakan menyimpan duit dan konsisten melakukannya. Semoga bermanfaat.